Haramnya Mengambil Lebihan Bayaran Dari Hutang


Islam melarang pembayaran balik hutang yang melebihi kuantiti asalnya, iaitu sekiranya kita berhutang dengan RM10,000 maka kita wajib membayarnya dengan RM10,000. Haram berlaku penambahan walau 1 sen pun kerana ianya adalah riba Nasiah. Keharaman ini dapat dilihat dari hadis dan juga atsar.

Diriwayatkan dari Anas, bahawa dia ditanya tentang seorang laki-laki di antara kita yang meminjamkan harta kepada saudaranya, lalu saudaranya itu memberi hadiah kepadanya. Dia (Anas) berkata: Rasulullah Salallahu alaihi wa Sallam bersabda:
“Jika salah seorang dari kalian memberi pinjaman, lalu (orang yang diberi pinjaman) memberi hadiah kepadanya atau menumpangkannya ke atas kenderaan, maka janganlah dia mengenderainya dan janganlah dia menerimanya. Kecuali, jika (perkara memberi hadiah atau memberi tumpang) itu biasa terjadi antara dia (pemberi hutang) dan dia (yang diberi hutang) sebelumnya.” [HR Ibnu Majah]

Diriwayatkan dari Anas dari Nabi Salallahu alaihi wa Sallam beliau bersabda:

“Jika seseorang memberi pinjaman, maka janganlah dia mengambil hadiah." [HR Bukhari dalam Kitab Tarikhnya].

Imam Syaukani juga menambah Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya dari Abu Burdah bin Abu Musa, dia berkata:
“Aku mendatangi Madinah dan menemui Abdullah bin Salam. Dia berkata kepadaku: “Sesungguhnya kamu berada di tanah yang riba di dalamnya tersebar. Jika kamu memiliki hak atas seseorang, lalu dia menghadiahkan kepada mu seikat jerami, atau seuncang gandum, atau segenggam makanan ruji, maka janganlah kamu mengambilnya, kerana, itu adalah riba.” [Nailul Authar V/258].

Dalam Al-Ma'rifah, Baihaqi mengeluarkan dari Fadhalah bin Ubaid:
“Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah salah satu bentuk riba.” [HR Imam Baihaqi]
Harits bin Abu Usamah meriwayatkannya dari hadis Ali ra. dengan lafaz: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam. melarang pinjaman yang menarik manfaat.”

Dalam riwayat lain:
“Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah riba.”
Juga, berdasarkan ijmak  yang telah terjadi bahawa setiap pinjaman yang di dalamnya disyaratkan tambahan adalah haram.
Ibnu Mundzir berkata: “Mereka berijmak bahawa jika pemberi pinjaman mensyaratkan tambahan atau hadiah atas peminjam, lalu dia memberi pinjaman berdasarkan itu, jika dia mengambil tambahan tersebut berdasarkan itu, maka itu adalah riba.”
Diriwayatkan dari Ubay bin Ka'b, Ibnu Abbas dan Ibnu Mas'ud, bahawa mereka melarang pinjaman yang menarik manfaat.

Dari hadis dan atsar ini menjadi jelas kepada kita bahawa pinjaman yang menarik manfaat, jika tambahan di dalamnya adalah syarat, maka tidak diperselisihkan bahawa itu adalah haram. Sekiranya terdapat bayaran lebihan, ulama bersepakat menyatakannya sebagai riba an-Nasiah yang disepakati keharamannya. [Al-Jami' fi Usul al-Riba, ms 17]